Jom Beli Buku Di Book Cafe

Memaparkan catatan dengan label Psikososial. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Psikososial. Papar semua catatan

Ahad, 22 Mei 2016

5 syarat berbuat maksiat



"Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat." Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, "Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan maksiat." Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya. "Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?"

Ibrahim bin Adham berkata, "Syarat pertama, jika kamu 
bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya." Mendengar itu dia mengernyitkan kening seraya berkata, "Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah? "Ya!" tegas Ibrahim bin Adham. "Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?"

"Yang kedua," kata Ibrahim, "kalau mahu bermaksiat, jangan 
tinggal di bumi-Nya! Syarat ini membuat lelaki i tu terkejut setengah mati. Ibrahim kembali berkata kepadanya, "Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu melanggar segala larangan-Nya?"

"Ya! Anda benar." kata lelaki itu. Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab, "Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya!" Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, "Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?" "Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu m asih berkeinginan melakukan maksiat?" kata Ibrahim. Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat.

Ibrahim melanjutkan, "Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya, 'Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh'." Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar, "Wahai Ibrahim , mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?"

"Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?"

"Baiklah, apa syarat yang kelima?" Ibrahim pun menjawab, "Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya."

Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya." Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. "Mulai saat ini akut bertaubat kepada Allah." katanya sambil terisak-isak.



Isnin, 28 Mac 2016

Hatimu Bukan Hatiku

        Adalah normal bagi manusia apabila memiliki perasaan ingin dipunyai dan dihargai oleh orang sekelilingnya sama ada daripada keluarga, rakan-rakan mahupun masyarakat, dan perkara inilah membuatkan seseorang itu memiliki motivasi dan berupaya bergerak lebih kehadapan dalam hidupnya. Perkara ini juga dipersetujui oleh ahli teori kaunseling barat seperti, Glasser yang mengatakan bahawa manusia itu makhluk sosial iaitu memerlukan orang lain dalam hidupnya.

       Namun kita perlu ingat apa yang kita  beri sama ada dalam bentuk kasih-sayang, penghargaan dan sebagainya kepada orang lain, tak semestinya orang itu akan membalasnya seperti apa yang kita mahu, contohnya, "saya mesti disayangi", kenyataan ini memperlihatkan bahawa orang yang kita curahkan kasih sayang perlu memberikan kepada kita sebagaimana yang kita berikan. Jadi, apabila berlaku disebaliknya kita akan berasa sakit hati dan kita telah meletakkan diri kita di dalam situasi 'masalah' ini kerana, kebiasaannya individu ini akan mula merasa sakit hati dan memendam perasaanya lalu menjauhkan diri daripada individu berkenaan. 

Persoalannya, adakah masalah ini selesai???

      Sudah tentu tidak, ia membuatkan individu berkenaan tertanya-tanya, "mengapa pula dia ingin menjauhiku", yang lebih parah apabila individu berkenaan jenis kurang peka dan sensitif mengenai perubahan yang berlaku dan tidak memandang perkara itu serius seperti. "mungkin dia ingin bersendirian".

      Oleh itu, penjelasan amat penting dalam merungkaikan masalah dalaman seperti ini, hal ini kerana orang berkenaan tidak tahu apa yang kita fikirkan dan apa yang bermain dalam minda kita, jadi kita perlu berterus-terang, dan jangan malu untuk meluahkan, kerana apa yang ada dalam hati kita, hanya kita dan Tuhan sahaja yang tahu. Mungkin sahaja orang itu akan sedar selepas kita membuat penjelasan kepadanya,

       Namun begitu, dalam masalah perhubungan seperti orang tidak mahu berkawan dengan kita atau lebih parah lagi disisih oleh orang sekeliling. Kita perlu membuat muhasabah diri mengenai cara kita bergaul dan perwatakan kita dalam sosialisasi. tidak dapat dinafikan manusia itu unik dan mempunyai sifat yang pelbagai, namun dalam bermsayarakat kita perlu bijak untuk menyesuaikan diri dan mengawal keadaan sekeliling serta  sentiasa membuat koreksi atau perubahan jika perilaku kita tidak sesuai. 

       Jadi, pada pandangan saya, bila kita menghadapi masalah-masalah dalam perhubungan, kita perlu bertoleransi dan bersedia untuk meluahkan dan bercerita mengenai perkara yang berlaku, dan seterunya bermuhasbah diri mengenai cara pergaulan kita, mungkin masalah itu berpunca daripada kita. Akhir kata, 'hatimu bukan hatiku' bermaksud, "saya tidak tahu apa yang awak fikirkan, kerana saya bukan diri awak". 

Wallahu'alam, Sekian terima Kasih.

*jika ada tambahan dan pandangan, sila tinggalkan di ruang komen.

Ahad, 20 Mac 2016

Penghargaan! Perlukah?

"Dengan melihat dan meraikan seseorang itu apabila dia melakukan perkara yang betul mampu membuatkan dia lebih berjaya." [Hazrul Hizam Karim: Jadi Bos Hebat!] 
Dalam kehidupan kita seharian, kita banyak berkerja dengan manusia dan secara tidak langsung komunikasyang baik amat diperlukan bagi menimbulkan iklim yang kondusif ketika menjalankan tugas.

    Justeru itu, sebagai seorang manusia yang mempunyai akal dan emosi, sudah tentu sedikit 'penghargaan' dari pihak tertentu amat diperlukan untuk memotivasikannya dan membakar semangat untuk mencapai sasaran yang lebih baik. Sebagai orang di atas atau  pemimpin mahupun ibubapa, sifat mudah untuk menjumpai kesalahan yang dilakukan oleh perkerja/orang dipimpin ditambah lagi dengan sifat membandingkan dengan individu yang lain amat tidak digalakkan walau ia juga mempunya nilai positifnya yang tersendiri.

   Jadi, ucapan yang penuh dengan nada keikhlasan seperti, 'Terima Kasih', Tahniah', 'Kerja Yang Bagus', 'Syabas' merupakan contoh kata-kata pujian/penghargaan yang boleh diberikan kepada pekerja. Namun begitu, kita juga perlu tahu bila masa untuk mengucapkan kata-kata itu. Jangan tersalah pujia pula ya! Kerana, jika perkara ini berlaku ia akan melunturkan semangat pekerja yang lebih tekun dan lebih berhak untuk mendapat pujian tersebut.

   Secara tidak langsung, perkara ini sebenarnya memberi motivasi dan menjadikan pekerja anda lebih berdaya saing dalam meningkatkan prestasi kerja masing-masing. Tambahan lagi, kata-kata pujian ini haruslah diucapkan dengan segera tanpa berlengah ke masa lain dan dengan terpeinci agar ia menjadi pengalak kepada pekerja terbabit untuk meneruskan kesempurnaan budaya kerjanya. 

    Dalam konteks yang lain, penghargaan dan pujian ini disebut juga sebagai peneguhan positif yang mampu memberi semangat dan galakan kepada seseorang untuk menjadi lebih baik atau terus berada dalam keadaan tersebut. Selain dalam alam pekerjaan, penghargaan atau peneguhan positif ini juga penting dalam pendidikan iaitu semasa proses pembelajaran, tidak kiralah di rumah mahupun institusi pendidikan. Implikasinya sudah tentu akan melahirkan suasana ceria dan perasaan gembira.

   Penghargaan ini tidak semestinya diberi apabila individu terbabit melakukan sesuatu yang besar, ia sudah memadai apabila diberikan keatas pencapaian yang kecil, kerana dengan peneguhan terhadap perkara kecil inilah yang akan mencetuskan perkara yang besar. Sebagai contoh, memberi kata-kata positif kepada anak-anak yang nakal yang mula menunjukkan sifat-sifat yang positif. Jadi, perlakuan seseorang boleh diubah dengan sedikit peneguhan yang positif


Jumaat, 18 Mac 2016

Dilema Anak Tengah / Anak Ketiga

Dilema dan konflik merupakan situasi yang menjadi asam garam dalam kehidupan yang bergelar manusia. Melalui dua item ini, seseorang itu akan menerima babak-babak kehidupan yang menguji tahap kesabaran individu berkenaan dan perkara inilah menjadi titik tolak bagi menentukan suasana persekitaran seseorang itu. Jika dilema dan konflik itu dapat dihadapi dengan positif maka persekitaran seseorang itu akan positif dan seterusnya individu berkenaan dapat menjalani kehidupannya dengan tabah dan tenang sebagaimana orang yang tidak menghadapi situasi yang sedang dihadapinya.
   Tambahan lagi, apabila dikaitkan pula dengan anak tengah ataupun anak ketiga berdasarkan bilangan dan susunan adik- beradik di dalam keluarga masing-masing. Menurut, Teori Adlerian iaitu salah satu teori kaunseling yang dipelopori oleh Alferd Adler, individu yang menduduki bilangan ini seringkali meghadapi dilema dan konflik semasa mereka menjalani proses kehidupan bersama ahli keluarga mereka. seperti berasa tersisih dari ahli keluarga yang lain dan merasakan bahawa dilayan secara tidak adil terutamanya oleh ibu bapa. (Amir Awang 1987)
   Jadi, apakah perkara ini benar-benar berlaku kepada individu berkenaan. Jawapannya ada pada insan yang dilahirkan sebagai anak tengah atau anak ketiga. Jika anda bukan dalam golongan ini, cuba anda meneroka perasaan mereka, apakah perasaan mereka terutamanya apabila berada bersama ahli keluarga dan apakah kesan kepada diri mereka berdasarkan konflik yang sedang berlaku.
   Berdasarkan pegalaman sosial saya apabila berkongsi cerita bersama individu-individu tertentu, sememangnya apa yang dinyatakan oleh teori Adlerian ini ada betulnya. Dan seolah-olah ia satu kebetulan, apabila golongan ini berkongsi hati sesama mereka berkenaan apa yang dirasakan, maka terdapatnya satu titik persamaan di antara mereka. Contohnya, perasaan tidak dihargai dan tersisih, seperti hari lahirnya tidak diingati, hasil pandangannya tidak dihargai, dan sering dipersalahkan di atas sesuatu perkara yang berlaku seperti pergaduhan dengan adik beradik. 
     Tambahan lagi, perasaan tersisih ini bukan sahaja dapat dirasai melalui sinario yang dialaminya malah terdapat juga dari segi fizikal, iaitu rupa paras yang seolah-olah tidak seiras dengan ahli keluarga yang lain, dan hal ini tidaklah menjadi satu yang besar jika semata-mata perkara itu yang dialaminya dan bagi saya ia menjadi satu bonus kerana ia suatu yang istemewa. Namun begitu, ia menjadi konflik yang besar terutamanya pada kanak-kanak apabila orang disekelilingnya mempersoalkan apa yang terdapat pada dirinya dan dibandingkan pula dengan ahli keluarga yang lain, dan contoh ayat-ayat yang sangat menusuk kalbu individu ini adalah 1) “anak pak cik X ka ni, kenapa nampak lain?” kata seseorang kepada bapanya, 2) “Y seorang sahaja gelap dalam keluarganya”, 3) dikatakan bahawa dia anak angkat/ buangan walau dia adalah anak kandung.
   Jadi, perkara-perkara inilah akan memberi kesan kepada kehidupan anak tengah atau anak ketiga ini sama ada semasa berada bersama ahli keluarga mereka mahupun bersama masyarakat. Dan kesannya boleh datang secara positif mahupun negatif berdasarkan bagaimana dirinya menghadapi konflik berkenaan serta bagaimana peranan orang disekelilingnya terhadapnya.
   Oleh itu, persoalannya apakah punca terjadinya konflik atau dilema ini pada individu berkenaan adakah ia faktor dalaman iaitu perspektif dirinya sendiri, mahupun faktor luaran iaitu orang-orang disekelilingnya.

Jadi:
Apakah Pandangan Anda??

# Pada pandangan anda apakah punca berlakunya situasi ini dan kesan dalam hidupnya sama ada positif mahupun negatif
#Jika anda tergolong daripada golongan ini, bolehlah kongsikan pengalaman anda dan bagaimana anda menghadapi situasi ini,
# Apakah jalan penyelesaian untuk menyelesaiakan perkara ini dan apa yang perlu dilakukan sebagai ahli keluarga.

luahan hati
   Walau bagaimanapun, perkara ini tidaklah berlaku pada semua golongan anak tengah atau anak ketiga dan ada juga yang mampu menghadapinya dengan baik dan ada juga tidak.
Jadi, jika anda mempunyai pandangan terhadap artikel yang diterbitkan ini, silalah berikan diruang komen. Mungkin anda sedikit sebanyak jiwa-jiwa yang menghadapinya.

Sekian terima kasih.