Jom Beli Buku Di Book Cafe

Isnin, 28 Mac 2016

Hatimu Bukan Hatiku

        Adalah normal bagi manusia apabila memiliki perasaan ingin dipunyai dan dihargai oleh orang sekelilingnya sama ada daripada keluarga, rakan-rakan mahupun masyarakat, dan perkara inilah membuatkan seseorang itu memiliki motivasi dan berupaya bergerak lebih kehadapan dalam hidupnya. Perkara ini juga dipersetujui oleh ahli teori kaunseling barat seperti, Glasser yang mengatakan bahawa manusia itu makhluk sosial iaitu memerlukan orang lain dalam hidupnya.

       Namun kita perlu ingat apa yang kita  beri sama ada dalam bentuk kasih-sayang, penghargaan dan sebagainya kepada orang lain, tak semestinya orang itu akan membalasnya seperti apa yang kita mahu, contohnya, "saya mesti disayangi", kenyataan ini memperlihatkan bahawa orang yang kita curahkan kasih sayang perlu memberikan kepada kita sebagaimana yang kita berikan. Jadi, apabila berlaku disebaliknya kita akan berasa sakit hati dan kita telah meletakkan diri kita di dalam situasi 'masalah' ini kerana, kebiasaannya individu ini akan mula merasa sakit hati dan memendam perasaanya lalu menjauhkan diri daripada individu berkenaan. 

Persoalannya, adakah masalah ini selesai???

      Sudah tentu tidak, ia membuatkan individu berkenaan tertanya-tanya, "mengapa pula dia ingin menjauhiku", yang lebih parah apabila individu berkenaan jenis kurang peka dan sensitif mengenai perubahan yang berlaku dan tidak memandang perkara itu serius seperti. "mungkin dia ingin bersendirian".

      Oleh itu, penjelasan amat penting dalam merungkaikan masalah dalaman seperti ini, hal ini kerana orang berkenaan tidak tahu apa yang kita fikirkan dan apa yang bermain dalam minda kita, jadi kita perlu berterus-terang, dan jangan malu untuk meluahkan, kerana apa yang ada dalam hati kita, hanya kita dan Tuhan sahaja yang tahu. Mungkin sahaja orang itu akan sedar selepas kita membuat penjelasan kepadanya,

       Namun begitu, dalam masalah perhubungan seperti orang tidak mahu berkawan dengan kita atau lebih parah lagi disisih oleh orang sekeliling. Kita perlu membuat muhasabah diri mengenai cara kita bergaul dan perwatakan kita dalam sosialisasi. tidak dapat dinafikan manusia itu unik dan mempunyai sifat yang pelbagai, namun dalam bermsayarakat kita perlu bijak untuk menyesuaikan diri dan mengawal keadaan sekeliling serta  sentiasa membuat koreksi atau perubahan jika perilaku kita tidak sesuai. 

       Jadi, pada pandangan saya, bila kita menghadapi masalah-masalah dalam perhubungan, kita perlu bertoleransi dan bersedia untuk meluahkan dan bercerita mengenai perkara yang berlaku, dan seterunya bermuhasbah diri mengenai cara pergaulan kita, mungkin masalah itu berpunca daripada kita. Akhir kata, 'hatimu bukan hatiku' bermaksud, "saya tidak tahu apa yang awak fikirkan, kerana saya bukan diri awak". 

Wallahu'alam, Sekian terima Kasih.

*jika ada tambahan dan pandangan, sila tinggalkan di ruang komen.

Ahad, 27 Mac 2016

Kerana Sehelai Bulu Mata

Diceritakan di hari pembalasan kelak, ada seorang hamba Allah sedang diadili.

Dia dituduh bersalah kerana mensia-siakan hidupnya di dunia untuk berbuat maksiat.

Namun begitu dia berkeras membantah, "Tidak demi langit dan bumi, sungguh tidak benar. Saya tak pernah melakukan perkara itu."

"Tetapi saksi-saksi mengatakan engkau betul-betul telah menjerumuskan dirimu sendiri ke dalam dosa."

Orang itu menoleh ke kiri dan ke kanan, lalu merenung segenap penjuru ruang yang ada.

Kemudian dia pun menyanggah, "Mana saksi-saksi yang engkau maksudkan? Disini tiada sesiapa melainkan aku dan suaramu sahaja."

Jawab malaikat, "Inilah saksi-saksimu..."

Tiba-tiba mata berbicara, "Saya yang memandang."

Disusuli dengan telinga, "Saya yang mendengar perkara itu."

Hidung pun tidak ketinggalan, "Saya yang mencium."

Bibir pun mengaku dengan selambanya, "Saya yang merayu."

Lidah menambah dengan berani, "Saya yang menjilat dan menghisap."

Tangan tanpa malu meneruskan, "Saya yang meraba dan meramas."

Kaki pula menyusul, "Saya yg berjalan dan berlari semasa itu."

"Nah kalau dibiarkan kesemua anggota tubuhmu akan memberikan kesaksian tentang perbuatan aibmu." ujar malaikat.

Orang tersebut tidak dapat membuka sanggahnya lagi.

Ia berputus asa dan amat berduka kerana sebentar lagi ia akan dihumban ke dalam neraka jahannam..

Padahal ia amat berharap agar segala perbuatan jahatnya dapat diselindungi.

Tatkala dia sedang dilanda kesedihan, tiba-tiba terdengar satu suara yg amat lembut dari sehelai bulu mata berbunyi,

"Saya pun ingin mengangkat sumpah untuk menjadi saksi dalam perkara ini."

Malaikat menjawab dengan tenang, "Silakan wahai bulu mata."

"Terus terang sahaja, menjelang ajalnya pada satu malam yang hening, aku pernah dibasahi dengan juraian air mata penyesalan mengenangkan segala perbuatan keji yang telah dilakukan.

Bukankah rasulnya telah berjanji, apabila ada seorang hamba yang ingin bertaubat, walaupun sehelai bulu mata sahaja yg dibasahi dengan air mata, demikian itu diharamkan dirinya dari ancaman api neraka?

Maka, saya sehelai bulu mata, berani tampil sebagai saksi bahawa dia telah bertaubat sampai membasahi saya dengan air mata
penyesalan."

Dengan kesaksian bulu mata itu, orang tersebut dibebaskan dari neraka dan segera dihantar ke syurga:

"Lihatlah hamba Allah ini masuk syurga kerana pertolongan bulu mata."

Masya-ALLAH.



Sabtu, 26 Mac 2016

10 CARA MENENANGKAN HATI



Betapa mahalnya harga ketenangan jiwa. Banyak yang mengorbankan apa saja untuk mendapatkannya. Namun, tak sedikit juga yang keliru. Lihat saja apabila seseorang ingin mendapatkan ketenangan jiwa, sangup menghabiskan masa berjam-jam untuk berhibur sambil mengambil minuman keras. Tak sedikit yang menghabiskan wang ribuan ringgit untuk mendapatkan pil penenang. Sementara, ketenangan yang diperolehi hanya sebentar saja. Akibatnya bukan ketenangan jiwa yang diperolehi tetapi kerosakan dan kehancuran yang diterima.

Kehidupan setiap hari dengan berbagai-bagai masaalah menyebabkan seseorang mendapat stress, risau, bimbang, gangguan emosi dan kemurungan. Kehidupan yang mencabar, keperluan dan tuntutan kehidupan yang meningkat, kos sara hidup yang tinggi kesemuanya menyumbang kepada keadaan jiwa yang tidak tenang dan memberikan tekanan jiwa yang amat membimbangkan. Apabila keadaan ini tak dapat dikawal dikhuatiri berbagai masaalah yang akan timbul, dan kadangkala boleh mengakibatkan seseorang itu bertindak diluar batasan manusia yang sihat. Contohnya faktor bunuh diri, penderaan seksual, penyiksaan fizikal terhadap kanak-kanak dan pembantu rumah,membuang dan membunuh bayi yang baru dilahirkan, hinggakan ianya boleh sampai keperingkat membunuh orang lain.

Sahabat yang dimuliakan,
Hakikat sebenarnya, tak ada seorang pun boleh terlepas dari masaalah kehidupan. Itulah sunatullah yang berlaku di dunia. Kekayaan, pangkat dan kedudukan takkan mampu menghalanginya.

Namun, Islam memberikan penyelesaian terhadap tekanan hidup itu agar jiwa menjadi tenang. Tak ada istilah stress atau kecewa bagi seorang Mukmin. Persoalannya Islam telah memberikan penyelesaian untuk menghadapi tekanan hidup. Berikut adalah langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk mendapat ketenangan jiwa:

1. Membaca dan mendengarkan kitab suci al-Qur'an :
Suatu ketika seseorang datang kepada Ibnu Mas’ud, salah seorang sahabat utama Rasulullah s.a.w.. Ia mengeluh, “Wahai Ibnu Mas’ud, nasihatilah aku dan berilah ubat bagi jiwaku yang gelisah ini. Hari-hariku penuh dengan perasaan tak tenteram, jiwaku gelisah, dan fikiranku kusut. Makan tak lalu, tidur pun tak lena," kata orang tersebut.

Ibnu Mas’ud menjawab, ”Kalau penyakit itu yang menimpamu, maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat :

Pertama, tempat orang membaca al-Quran. Engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya.

Kedua, engkau pergi ke majlis ilmu yang mengingatkan hatimu kepada Allah.

Ketiga, engkau cari waktu dan tempat yang sunyi, di sana engkau berkhalwat mengabdikan diri kepada Allah.

Nasihat sahabat Nabi itu segera dilaksanakan orang tersebut. Sampai saja di rumah, segera ia berwudhu kemudian diambilnya al-Qur'an dan dibacanya dengan khusyuk. Selesai membaca, ia segera dapati hatinya memperoleh ketenteraman, dan jiwanya pun tenang. Fikirannya segar kembali, hidupnya terasa seronok kembali. Padahal, ia baru melaksanakan satu dari tiga nasihat yang disampaikan sahabat Rasulullah s.a.w tersebut.

2. Menyayangi orang miskin :
Rasulullah s.a.w memerintahkan kepada Muslim yang punya kelebihan harta untuk memberikan perhatian kepada orang miskin. Ternyata, sikap dermawan itu boleh mendatangkan ketenangan jiwa. Mengapa? Dalam sebuah hadis dijelaskan bahwa para Malaikat selalu mendoakan orang-orang dermawan:

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :“Setiap pagi hari dua Malaikat senantiasa mendampingi setiap orang. Salah satunya mengucapkan do'a: ' Ya Allah! Berikanlah balasan kepada orang yang bersedekah. Dan Malaikat yang kedua pun berdo'a :' Ya Allah! Berikanlah kepada orang yang kedekut itu kebinasaan."

Dari hadis tersebut dapat disimpulkan bahwa orang yang dermawan itu memperoleh dua balasan. Pertama, ia mendapatkan ganjaran atas apa yang diberikannya kepada orang lain. Kedua, mendapatkan limpahan ketenangan jiwa dan belas kasihan dari Allah s.w.t.

3. Melihat orang yang di bawah, jangan lihat orang di atas :
Ketenangan jiwa akan diperoleh jika kita senantiasa bersyukur atas segala pemberian Allah s.w.t, meskipun nampak sedikit. Rasa syukur itu akan muncul bila kita senantiasa melihat orang-orang yang lebih rendah taraf kehidupannya dari kita, baik dalam segi harta kekayaan, tahap kesihatan, rupa paras, pekerjaan dan pendidikannya. Betapa ramai di dunia ini orang yang kurang bernasib baik. Rasa syukur itu selain mendatangkan ketenangan jiwa, juga akan mendapat ganjaran dari Allah s.w.t.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Siapa yang tidak bersyukur dengan pemberian yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan pemberian yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab."
(Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)

4. Menjaga perhubungan silaturahim :
Manusia adalah makhluk ciptaan Allah yang memerlukan perhubungan sesama manusia, untuk bantu membantu sesama mereka. Berbagai keperluan hidup tak mungkin diperolehi tanpa bantuan orang lain. Oleh itu, di dalam hadis Rasulullah s.a.w diperintahkan untuk tetap menjalin hubungan silaturahim, sekalipun terhadap orang yang melakukan permusuhan.

Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda bahwa silaturahmi dapat memanjangkan umur dan memurahkan rezeki . Hubungan yang baik di dalam keluarga, maupun dengan jiran tetangga akan mendatangkan ketenangan, kedamaian dan kemesraan. Hubungan yang baik itu juga akan menyelesaikan berbagai masaalah yang dihadapi oleh masyarakat.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa menjamin untukku satu perkara, aku jamin untuknya empat perkara. Hendaklah dia bersilaturahim (menjalinkan hubungan baik) nescaya keluarganya akan mencintainya, diperluas baginya rezeki, ditambah umurnya dan Allah s.w.t. memasukkan ke dalam Syurga."(Hadis Riwayat Ar-Rabii)

5. Banyak mengucapkan kalimah "la hawla wa la quwwata illa billah." dan berzikir kepada Allah.
Sumber ketenangan jiwa yang hakiki adalah bersumberkan dari Allah s.w.t. Oleh itu hendaklah kita selalu menghubungkan hati dengan Allah s.w.t. dalam semua keadaan, baik dalam keadaan senang maupun susah. Banyakkanlah berzikir dan membaca kalimah-kalimah Allah. Perhubungan yang kuat dengan Allah s.w.t. akan membuat jiwa seseorang menjadi kuat, tak mudah diganggu gugat oleh sesiapa pun, apabila hati sentiasa mengingati Allah maka syaitan laknatullah tidak akan dapat mempengaruhi hati dan fikiran kita.

6. Mengatakan kebenaran walaupun ianya pahit didengar :
Hidup ini harus dijaga agar senantiasa berada di atas jalan kebenaran. Kebenaran harus diperjuangan. Pelanggaran terhadap kebenaran akan mendatangkan kegelisahan. Ketenangan jiwa akan terbina apabila kita tidak melanggar nilai-nilai kebenaran. Sebaliknya, pelanggaran terhadap kebenaran akan berpengaruh terhadap ketenangan jiwa. Lihat saja orang-orang kerap berbuat maksiat, kehidupannya dipengaruhi kegelisahan.

7. Sentiasa berlapang dada terhadap kecaman orang lain asalkan yang kita lakukan benar-benar kerana Allah :
Salah satu faktor yang membuat jiwa seseorang tidak tenang adalah kerena selalu mengambil perhatian kecaman orang lain terhadap dirinya. Sedangkan seseorang akan memiliki pendirian yang kuat jika berpegang kepada prinsip-prinsip yang datang dari Allah s.w.t. iaitu Islam sebagai cara hidup. Sekiranya kita ikuti apa yang berlaku di dunia sekarang ini, ianya akan menganggu ketenagan jiwa kita.

8. Tidak meminta-minta kepada orang lain :
"Tangan di atas (memberi) lebih mulia dari tangan di bawah" adalah hadis Rasulullah s.a.w yang memotivasi setiap mukmin untuk hidup berdikari. Tidak bergantung dan meminta-minta kepada orang lain, kerana jiwanya akan kuat dan sikapnya lebih berani dalam menghadapi kehidupan. Sebaliknya, orang yang selalu meminta-minta menggambarkan jiwa yang lemah. Hal ini tentu membuat jiwanya tidak tenang.

9. Menjauhkan diri dari berhutang :
Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w dengan tegas mengatakan yang bermaksud : “Janganlah engkau jadikan dirimu ketakutan setelah merasakan keamanan!”
(Para sahabat) bertanya:" Bagaimana boleh terjadi seperti itu!"
Sabdanya :" Kerana hutang.”

Begitulah kenyataanya. Orang yang berhutang akan senantiasa bimbang dan risau, kerena ia akan didatangi oleh orang yang memberi hutang kepadanya. Inilah salah satu faktor yang membuat banyak orang mengalami tekanan jiwa. Rasulullah s.a.w juga mengatakan dalam hadisnya yang bermaksud : “Hendaklah kamu jauhi hutang, kerena hutang itu menjadi beban fikiran di malam hari dan rasa rendah diri di siang hari."

10. Selalu berfikiran positif :
Mengapa seseorang mudah stress dan jiwa tak tenang? Salah satu faktornya kerena ia selalu berfikiran negatif. Selalu mencela dan menyesali kekurangan diri. Padahal, setiap kita diberikan oleh Allah s.w.t. berbagai kelebihan. Ubahlah fikiran negatif itu menjadi positif. Ubahlah perasaan keluh kesah yang membuat muka berkerut, lemah badan dan kecewa dengan ucapan yang mengembirakan. Ucapan yang mengembirakan akan membuat kita mudah tersenyum, jiwa menjadi lebih bersemangat. Bukankah di balik kesulitan dan kegagalan ada hikmah yang boleh jadi pelajaran? Dan bukankah disebalik kesulitan ada kemudahan?






via: Badan Dakwah Dan Rohani (BADAR)


Jumaat, 25 Mac 2016

Usia vs Kesihatan vs Wang vs Masa

Pada zaman kanak-kanak dan remaja, kita memiliki kesihatan yang baik, tambahan lagi masa yang banyak terluang, namun kita tidak memiliki keeWANGan yang mantap dek tidak mampu lagi untuk mencari rezeki sendiri.

Selepas kita meninggalkan zaman tersebut, kita melangkah pula kezaman dewasa. Ketika ini, kita memiliki kesihatan yang baik, keewangan yang stabil, namun MASA kita tiada, kita terlalu sibuk mencari harta.

Seterusnya kita memasuki zaman usia emas, di zaman ini, keewangan kita mantap, masa kita banyak terluang kerana ramai sudah berhenti dan bersara dari bekerja. Namun, ketika ini KESIHATAN kita semakin lemah dan menanti masa untuk menghadap Ilahi.

Jadi di sini kita dapat lihat bahawa kehidupan kita sentiasa tidak mencapai kesempurnaan. Namun, kesempurnaan yang IMPOSSIBLE itu kita boleh jadikan POSSIBLE dengan akal fikiran kita. Maknanya, kita harus bijak untuk mencari dan mengatur langkah untul mencapai kesempurnaa itu, lebih-lebih lagi diusia muda, rebutlah peluang sebaik mungkin, jangan terlalu leka mencari harta sehingga kita lupa mengambil berat tentang aspek lain.


Ahad, 20 Mac 2016

Penghargaan! Perlukah?

"Dengan melihat dan meraikan seseorang itu apabila dia melakukan perkara yang betul mampu membuatkan dia lebih berjaya." [Hazrul Hizam Karim: Jadi Bos Hebat!] 
Dalam kehidupan kita seharian, kita banyak berkerja dengan manusia dan secara tidak langsung komunikasyang baik amat diperlukan bagi menimbulkan iklim yang kondusif ketika menjalankan tugas.

    Justeru itu, sebagai seorang manusia yang mempunyai akal dan emosi, sudah tentu sedikit 'penghargaan' dari pihak tertentu amat diperlukan untuk memotivasikannya dan membakar semangat untuk mencapai sasaran yang lebih baik. Sebagai orang di atas atau  pemimpin mahupun ibubapa, sifat mudah untuk menjumpai kesalahan yang dilakukan oleh perkerja/orang dipimpin ditambah lagi dengan sifat membandingkan dengan individu yang lain amat tidak digalakkan walau ia juga mempunya nilai positifnya yang tersendiri.

   Jadi, ucapan yang penuh dengan nada keikhlasan seperti, 'Terima Kasih', Tahniah', 'Kerja Yang Bagus', 'Syabas' merupakan contoh kata-kata pujian/penghargaan yang boleh diberikan kepada pekerja. Namun begitu, kita juga perlu tahu bila masa untuk mengucapkan kata-kata itu. Jangan tersalah pujia pula ya! Kerana, jika perkara ini berlaku ia akan melunturkan semangat pekerja yang lebih tekun dan lebih berhak untuk mendapat pujian tersebut.

   Secara tidak langsung, perkara ini sebenarnya memberi motivasi dan menjadikan pekerja anda lebih berdaya saing dalam meningkatkan prestasi kerja masing-masing. Tambahan lagi, kata-kata pujian ini haruslah diucapkan dengan segera tanpa berlengah ke masa lain dan dengan terpeinci agar ia menjadi pengalak kepada pekerja terbabit untuk meneruskan kesempurnaan budaya kerjanya. 

    Dalam konteks yang lain, penghargaan dan pujian ini disebut juga sebagai peneguhan positif yang mampu memberi semangat dan galakan kepada seseorang untuk menjadi lebih baik atau terus berada dalam keadaan tersebut. Selain dalam alam pekerjaan, penghargaan atau peneguhan positif ini juga penting dalam pendidikan iaitu semasa proses pembelajaran, tidak kiralah di rumah mahupun institusi pendidikan. Implikasinya sudah tentu akan melahirkan suasana ceria dan perasaan gembira.

   Penghargaan ini tidak semestinya diberi apabila individu terbabit melakukan sesuatu yang besar, ia sudah memadai apabila diberikan keatas pencapaian yang kecil, kerana dengan peneguhan terhadap perkara kecil inilah yang akan mencetuskan perkara yang besar. Sebagai contoh, memberi kata-kata positif kepada anak-anak yang nakal yang mula menunjukkan sifat-sifat yang positif. Jadi, perlakuan seseorang boleh diubah dengan sedikit peneguhan yang positif


Jumaat, 18 Mac 2016

Hidup Mesti Happy

   Kehidupan di dunia ini hanya sementara sahaja, sebagai satu persinggahan dan sebuah mimpi sebelum terjaga di alam akhirat.  Namun, tempat persinggahan ini, banyak menguji kita untuk agar lebih kuat. Ada insan diuji dengan kesihatan dan ada juga diuji dengan hubungan sesama manusia, yang pastinya semua ujian ini diuji mengikut kemampuan seseorang individu itu.
   Jadi, secara ringkasnya apa yang dihadapi oleh kita, sememangnya kita mampu untuk mengharunginya. Tetapi, kenapa kita asyik berasa diri kita lemah dan tidak mampu untuk menghadapinya? Persoalannya bagaimana kita menghadapi ujian berkenaann. Adakah dengan positif mahupun negatif?  Oleh kerana kehidupan ini hanyalah sementara, tidak perlulah kiranya untuk kita bersikap negatif dalam menghadapi apapun ujian, sikap negatif hanya membuat kehidupan ini kucar-kacir, tertekan dan mendorong ke arah perkara yang mengakibatkan kita berdosa.
  Oleh demikian, saya berharap sangat untuk sentiasa bersifat positif, sentiasa mengucapkan kata-kata positif, berfikiran positif dalam membuat penilaian mahupun menyelesaikan sesuatu persoalan. Membuat perubahan tingkah laku sendiri bukanlah sukar, kerana diri saya (kita) sendiri berkuasa untuk membuat perubahan. Oleh itu, melalui sifat ini kebahagiaan mampu dikecapi, bukan sahaja terhadap diri sendiri malah orang sekeliling juga bahagia bersama orang yang positif.
   Kesimpulannya, perkara yang lalu telahpun berlalu, kita hanya mampu untuk membuat perubahan masa sekarang dan akan datang. Hidup ini singkat sahaja namun mempunyai pengaruh yang besar untuk kehidupan yang kekal nanti. Jadi bagaimana untuk kita mencorak masa hadapan terserah kepada diri sendiri, yang penting hidup mesti happy. " Happy Here, Happy There"

#Jadi, bagaimana ada mengekalkan positive power anda?

Dilema Anak Tengah / Anak Ketiga

Dilema dan konflik merupakan situasi yang menjadi asam garam dalam kehidupan yang bergelar manusia. Melalui dua item ini, seseorang itu akan menerima babak-babak kehidupan yang menguji tahap kesabaran individu berkenaan dan perkara inilah menjadi titik tolak bagi menentukan suasana persekitaran seseorang itu. Jika dilema dan konflik itu dapat dihadapi dengan positif maka persekitaran seseorang itu akan positif dan seterusnya individu berkenaan dapat menjalani kehidupannya dengan tabah dan tenang sebagaimana orang yang tidak menghadapi situasi yang sedang dihadapinya.
   Tambahan lagi, apabila dikaitkan pula dengan anak tengah ataupun anak ketiga berdasarkan bilangan dan susunan adik- beradik di dalam keluarga masing-masing. Menurut, Teori Adlerian iaitu salah satu teori kaunseling yang dipelopori oleh Alferd Adler, individu yang menduduki bilangan ini seringkali meghadapi dilema dan konflik semasa mereka menjalani proses kehidupan bersama ahli keluarga mereka. seperti berasa tersisih dari ahli keluarga yang lain dan merasakan bahawa dilayan secara tidak adil terutamanya oleh ibu bapa. (Amir Awang 1987)
   Jadi, apakah perkara ini benar-benar berlaku kepada individu berkenaan. Jawapannya ada pada insan yang dilahirkan sebagai anak tengah atau anak ketiga. Jika anda bukan dalam golongan ini, cuba anda meneroka perasaan mereka, apakah perasaan mereka terutamanya apabila berada bersama ahli keluarga dan apakah kesan kepada diri mereka berdasarkan konflik yang sedang berlaku.
   Berdasarkan pegalaman sosial saya apabila berkongsi cerita bersama individu-individu tertentu, sememangnya apa yang dinyatakan oleh teori Adlerian ini ada betulnya. Dan seolah-olah ia satu kebetulan, apabila golongan ini berkongsi hati sesama mereka berkenaan apa yang dirasakan, maka terdapatnya satu titik persamaan di antara mereka. Contohnya, perasaan tidak dihargai dan tersisih, seperti hari lahirnya tidak diingati, hasil pandangannya tidak dihargai, dan sering dipersalahkan di atas sesuatu perkara yang berlaku seperti pergaduhan dengan adik beradik. 
     Tambahan lagi, perasaan tersisih ini bukan sahaja dapat dirasai melalui sinario yang dialaminya malah terdapat juga dari segi fizikal, iaitu rupa paras yang seolah-olah tidak seiras dengan ahli keluarga yang lain, dan hal ini tidaklah menjadi satu yang besar jika semata-mata perkara itu yang dialaminya dan bagi saya ia menjadi satu bonus kerana ia suatu yang istemewa. Namun begitu, ia menjadi konflik yang besar terutamanya pada kanak-kanak apabila orang disekelilingnya mempersoalkan apa yang terdapat pada dirinya dan dibandingkan pula dengan ahli keluarga yang lain, dan contoh ayat-ayat yang sangat menusuk kalbu individu ini adalah 1) “anak pak cik X ka ni, kenapa nampak lain?” kata seseorang kepada bapanya, 2) “Y seorang sahaja gelap dalam keluarganya”, 3) dikatakan bahawa dia anak angkat/ buangan walau dia adalah anak kandung.
   Jadi, perkara-perkara inilah akan memberi kesan kepada kehidupan anak tengah atau anak ketiga ini sama ada semasa berada bersama ahli keluarga mereka mahupun bersama masyarakat. Dan kesannya boleh datang secara positif mahupun negatif berdasarkan bagaimana dirinya menghadapi konflik berkenaan serta bagaimana peranan orang disekelilingnya terhadapnya.
   Oleh itu, persoalannya apakah punca terjadinya konflik atau dilema ini pada individu berkenaan adakah ia faktor dalaman iaitu perspektif dirinya sendiri, mahupun faktor luaran iaitu orang-orang disekelilingnya.

Jadi:
Apakah Pandangan Anda??

# Pada pandangan anda apakah punca berlakunya situasi ini dan kesan dalam hidupnya sama ada positif mahupun negatif
#Jika anda tergolong daripada golongan ini, bolehlah kongsikan pengalaman anda dan bagaimana anda menghadapi situasi ini,
# Apakah jalan penyelesaian untuk menyelesaiakan perkara ini dan apa yang perlu dilakukan sebagai ahli keluarga.

luahan hati
   Walau bagaimanapun, perkara ini tidaklah berlaku pada semua golongan anak tengah atau anak ketiga dan ada juga yang mampu menghadapinya dengan baik dan ada juga tidak.
Jadi, jika anda mempunyai pandangan terhadap artikel yang diterbitkan ini, silalah berikan diruang komen. Mungkin anda sedikit sebanyak jiwa-jiwa yang menghadapinya.

Sekian terima kasih.